AGENDA

Polis tumpas sindiket tipu dalam talian, operasi di rumah inap Pulau Pangkor

23 Feb 2025, 2:30 PM
Polis tumpas sindiket tipu dalam talian, operasi di rumah inap Pulau Pangkor

IPOH, 23 FEB: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pekerjaan dalam talian yang beroperasi di sebuah rumah inap di Pulau Pangkor, dalam serbuan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata serbuan pada 9.45 malam itu berjaya menahan 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Beliau berkata turut ditahan pasangan suami isteri warga tempatan masing-masing berusia 61 dan 63 tahun yang berperanan sebagai penyewa rumah inap serta pembekal makanan kepada ahli sindiket.

“Hasil siasatan mendapati 15 ahli sindiket terbabit menggunakan rumah itu bagi menjalankan kegiatan panggilan penipuan pekerjaan dengan menawarkan pekerjaan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China.

“Mangsa dikehendaki melengkapkan tugasan pembelian barangan dalam talian bagi meningkatkan rating barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Noor Hisam berkata mangsa dijanjikan keuntungan bagi setiap tugasan yang disempurnakan dan apabila mangsa membuat pembayaran bagi pembelian barangan berkenaan, keuntungan yang dijanjikan tidak diperoleh.

“Turut dirampas semasa serbuan ini adalah 12 komputer riba, enam modem WiFi dan 88 telefon bimbit pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM80,000.

"Kesemua suspek direman selama empat hari mulai 22 Feb hingga 25 Feb 2025," katanya sambil menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (B) kanun sama.

Noor Hisam berkata pihaknya akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan status pasport warga China yang ditangkap itu, dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran atau penyalahgunaan pas lawatan, tindakan juga akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619