AGENDA

Kepengerusian Asean lonjak imej Malaysia, perkukuh pertumbuhan ekonomi

22 Feb 2025, 1:49 PM
Kepengerusian Asean lonjak imej Malaysia, perkukuh pertumbuhan ekonomi

BANGI, 22 FEB: Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta pengukuhan tenaga baharu, pertanian dan teknologi makanan akan diberi tumpuan dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam sidang media selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan kepuasan terhadap persiapan Kepengerusian ASEAN-Malaysia dan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakannya.

Beliau turut mendedahkan bahawa dalam mesyuarat minggu lepas, beberapa cadangan telah dibentangkan bagi memastikan kerajaan mampu memberikan yang terbaik sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat global.

Anwar berkata sebagai negara dagang, Malaysia harus mengambil peluang Kepengerusian ASEAN untuk meningkatkan lagi usaha dagang berikutan sidang ASEAN kali ini merupakan pertemuan pertama yang melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Anwar berkata Malaysia juga komited untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memperluas skop dagangan negara.

"Tetapi yang istimewa ialah dalam setiap sidang ASEAN akan diadakan pameran dan persidangan besar-besaran yang dianjurkan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga dengan kerjasama syarikat media serta syarikat besar dunia seperti Arab Saudi, China, AS dan tentunya ASEAN," katanya.

Anwar berkata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat, turut memberi dukungan bagi pihak Afrika untuk menyokong Kepengerusian ASEAN-Malaysia di Kuala Lumpur.

Di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619