AGENDA

Aspek keselamatan stesen LRT dipertingkat, elak kes OKU maut jatuh landasan berulang

22 Feb 2025, 10:15 AM
Aspek keselamatan stesen LRT dipertingkat, elak kes OKU maut jatuh landasan berulang

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan agar aspek keselamatan di semua stesen tren, khususnya kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dikaji semula dan dipertingkatkan.

Menterinya Anthony Loke berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang lelaki OKU yang maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan sebelum dilanggar tren di Stesen LRT STAR Titiwangsa di sini, pagi tadi.

“Tragedi di Stesen Titiwangsa pagi ini yang meragut nyawa seorang penumpang amat menyedihkan.

“Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terkesan oleh kejadian ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Loke berkata Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang, termasuk pemasangan kamera litar tertutup pintar (Smart CCTV) di stesen yang berupaya mengesan perilaku berisiko.

Bagi jangka masa panjang, beliau berkata Prasarana sedang merancang untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di semua laluan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang.

Selain itu, Loke menasihatkan penumpang yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk golongan OKU agar menghubungi kakitangan Prasarana atau polis bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam lebih selamat, inklusif dan mesra pengguna demi kebaikan semua rakyat negara ini.

Terdahulu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Fadil Hesam Mohd, dalam kenyataan memaklumkan bahawa Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 8.38 pagi tadi melalui sistem MERS-999 berhubung penemuan mayat tersebut.

Beliau berkata mangsa, seorang lelaki OKU penglihatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619