PBT

MBDK nafi tebang pokok tanpa pertimbangan, utama keselamatan penduduk

22 Feb 2025, 8:00 AM
MBDK nafi tebang pokok tanpa pertimbangan, utama keselamatan penduduk

SHAH ALAM, 22 FEB : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) nafi dakwaan berhubung tindakan menebang pokok di taman berhampiran Stadium Sultan Sulaiman tanpa pertimbangan dan tidak melibatkan pakar.

Pengarah Komunikasi Korporatnya berkata pokok jenis Angsana itu ditebang kerana ia mendatangkan risiko kepada pelajar sekolah dan penduduk berhampiran meski hampir setiap tahun diselenggara.

Jelas Norfiza Mahfiz bagaimanapun MBDK turut melantik 24 panel kontraktor penyelenggaraan pokok ‘amenity‘ dan dijangka memulakan kerja April ini bagi mengatasi isu pokok berisiko.

“Sekolah berhampiran ini juga pernah mengemukakan permohonan kepada MBDK bersama ahli majlis kawasan meminta pokok sekitar diambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“MBDK dengan rasa tanggungjawab dan prihatin melakukan kerja penebangan pokok pada 7 Februari lalu bagi mengelakkan tragedi terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu kini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Norfiza berkata penebangan pokok itu juga adalah hasil perbincangan dengan arboris (pakar pokok) yang mengesahkan tumbuhan tersebut berisiko dan berpotensi tumbang.

Jelasnya, bahagian dalam pokok juga didapati sudah berlubang dan berisiko kepada pelajar termasuk mereka yang beriadah di stadium berhampiran.

Sementara itu, bekas Yang DiPertua Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Klang Azmi Jusoh merakamkan penghargaan kepada MBDK kerana keprihatinan menebang pokok berkenaan.

Menurutnya, isu pokok menjadi perkara kritikal sejak beliau memegang jawatan yang dipertua kerana bimbang dengan keselamatan anak setiap kali hujan.

“Pokok berkenaan mengancam keselamatan pelajar, merosakkan struktur binaan berhampiran dan menyebabkan binatang liar masuk ke dalam sekolah melaluinya.

“MBDK membuat tindakan tepat dan wajar diberi penghargaan atas komitmen menyelesaikan aduan dan permohonan penduduk,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di kawasan berkenaan kecewa dengan penebangan pokok oleh MBDK tanpa pertimbangan dan penglibatan pakar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619