AGENSI

Salehuddin Saidin dilantik pengerusi Mais baharu mulai Mac

20 Feb 2025, 10:11 AM
Salehuddin Saidin dilantik pengerusi Mais baharu mulai Mac

SHAH ALAM, 20 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan melantik senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac.

Setiusaha sulit Baginda berkata pengisian jawatan berkenaan perlu dilakukan segera berikutan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj amat mengambil berat urusan pentadbiran dan pembangunan institusi agama Islam demi syiar Islam di negeri ini.

“DYMM Sultan Selangor berkenan dengan permohonan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai pengerusi Mais atas faktor kesihatan berkuat kuasa 28 Februari ini.

“Ekoran itu Baginda berkenan dan menitahkan Salehuddin mengambil alih jawatan pengerusi Mais dan melaksanakan tugas serta tanggung jawab sebagai berkuatkuasa mulai 1 Mac 2025,” kata Dato’ Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Aziz yang telah melaksana tugas serta tanggungjawab dengan baik dan cemerlang semenjak dilantik pada 2021.

“Baginda mendoakan Abdul Aziz sentiasa dibawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta dikurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik,” katanya.

Salehuddin, 63, yang juga Ahli Dewan di-Raja Selangor sejak 2016 dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada Julai tahun lalu selain merupakan bekas ketua unit kes terperingkat/kepentingan awam Jabatan Peguam Negara.

Dilahirkan pada 8 Mei 1963 di Perak, Salahuddin memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Beliau yang kini pemilik Tetuan Salehuddin Saidin & Associates pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan. Antaranya timbalan pendakwa rata dan ketua unit pendakwaan Selangor bagi penggal 2003-2006.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619