AGENDA

MAHB dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai 25 Februari

20 Feb 2025, 6:48 AM
MAHB dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai 25 Februari

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijadualkan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 25 Feb 2025.

Dagangan saham MAHB telah digantung hari ini sebagai persediaan untuk penyahsenaraian berikutan selesainya tawaran konsortium Gateway Development Alliance (GDA) untuk menstruktur semula kepentingan dalam MAHB.

Pada 12 Feb lepas, GDA, konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Abu Dhabi Investment Authority dan Global Infrastructure Partners milik BlackRock, mengambil alih 1.64 bilion saham MAHB atau 98.68 peratus daripada jumlah saham terbitan MAHB setakat 5 petang pada hari yang sama.

Konsortium itu telah mengemukakan permohonan untuk menyahsenarai MAHB daripada Bursa Malaysia pada hari berikutnya dan kemudiannya mencadangkan untuk mengambil alih kesemua saham MAHB pada RM11 sesaham daripada pemegang saham yang tidak bersetuju, menggunakan peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata tawaran konsortium untuk membeli semua baki saham MAHB pada RM11 sesaham bertujuan meletakkan syarikat itu pada kedudukan untuk disenaraikan semula pada masa depan dengan penilaian yang lebih tinggi.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619