AGENDA

TPM: TVET pertanian akan diperkasa seiring dasar negara

20 Feb 2025, 5:21 AM
TPM: TVET pertanian akan diperkasa seiring dasar negara

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan tidak pernah meminggirkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian malah akan terus memperkasa bidang itu pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata tumpuan akan terus diberikan pada TVET pertanian memandangkan kadar kebolehpasaran bidang itu mencecah 80 peratus.

“Kadar kebolehpasaran TVET secara purata nasional mencecah 94.5 peratus, graduan TVET bawah Mara (Majlis Amanah Rakyat) 98.7 peratus. Pertanian 80 peratus.

“Kita akan tumpukan juga (pertanian) supaya dapat diperkembang dan diperkasakan. Saya bersama Majlis TVET Negara akan meneliti perkara ini supaya bakat seperti juruteknik, jurutera pertanian disantuni dan diutamakan,” katanya di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan komited mempersiapkan peluang untuk golongan muda yang berminat dalam TVET terutama melibatkan kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran kerja.

“Beberapa bidang baharu diberi penekanan selain soft skill (kemahiran insaniah). Kita juga beri penekanan kepada pendidikan berasaskan nilai tinggi dengan kursus seperti robotik, internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Dasar TVET Negara 2030 yang dilancarkan tahun lalu mengandungi lima teras strategik, meliputi 23 strategi dan 67 inisiatif utama bagi mendepani landskap semasa bidang itu serta cabaran teknologi baharu yang kompleks.

Ia mengandungi garis panduan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan dalam mencapai matlamat Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Dokumen Dasar TVET Negara 2030 yang diedarkan menegaskan, pembangunan modal insan dan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi faktor kritikal dalam memastikan pasaran buruh yang cekap dan inklusif untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619