ad
AGENDA

Op Hazard: Polis rampas e-waste bernilai RM721 juta

18 Feb 2025, 2:47 PM
Op Hazard: Polis rampas e-waste bernilai RM721 juta

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas bahan buangan terjadual atau sisa elektrik dan elektronik (e-waste) bernilai RM721 juta dalam serbuan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada Sabtu lepas.

Komander Briged Tengah PGA Hakemal Hawari berkata menerusi Op Hazard yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan itu, seramai 47 individu ditahan dalam 12 serbuan iaitu tujuh di Selangor, masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Johor serta satu di Melaka.

“Tangkapan melibatkan lima warga tempatan termasuk seorang perempuan dan 42 warga asing iaitu 40 lelaki dan dua perempuan. Tangkapan warga asing melibatkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, China dan Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hakemal berkata kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen 1963.

Beliau berkata polis menerusi PGA akan terus menjalankan tugas serta tanggungjawab bagi menjaga keselamatan negara, ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab dan profesional demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Malaysia.

“Pihak polis juga mengharapkan agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan segala jenis maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Semalam, pasukan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kenyataan memaklumkan kejayaan menumpaskan sindiket memproses e-waste secara haram membabitkan nilai rampasan RM410 juta dalam serbuan di dua kilang berasingan di Pekan dan Gebeng, Pahang pada Sabtu.

Hasil serbuan menemukan puluhan guni sisa elektronik dan buangan terjadual seperti ‘black powder’ (tembaga/nikel), lebih 670 tan perak yang belum dan sudah diproses, dipercayai dibawa masuk dari China selain pelbagai mesin serta jentera memproses bahan pelupusan tanpa dokumen JAS.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.