ad
AGENDA

Kegiatan proses e-sisa secara haram tumpas, babit rampas RM1.3 bilion

16 Feb 2025, 9:25 AM
Kegiatan proses e-sisa secara haram tumpas, babit rampas RM1.3 bilion

SUNGAI SIPUT, 16 FEB: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya menumpaskan kegiatan memproses sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) secara haram melibatkan nilai rampasan RM1.3 bilion termasuk pelbagai jentera, dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar di sini semalam.

Komander Briged Utara SAC Shahrum Hashim berkata ia merupakan rampasan terbesar sejak lima tahun lepas dan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di kawasan seluas 4.8 hektar menerusi Op Hazard.

“Serbuan ini dibuat selepas risikan menggunakan teknologi dron selama sebulan di premis tersebut yang telah menjalankan operasi di kawasan ini secara haram sejak sembilan bulan lepas.

“Rampasan melibatkan lebih 1,000 beg jumbo seberat 1 tan metrik setiap satu dan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.6 juta. Setiap beg ini mengandungi pelbagai barangan e-sisa termasuk tembaga, timah dan aluminium," katanya ketika ditemui pada sidang media di kilang tersebut di sini hari ini.

Shahrum berkata selain rampasan, sebanyak 27 orang ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, 14 warga China dan 10 warga Myanmar serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai anak kepada seorang pekerja warga Myanmar.

“Mereka yang ditahan lingkungan usia dua hingga 60 tahun manakala dua warga tempatan tersebut dipercayai pemilik dan penyelia kilang.

“Kesemua warga asing tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrum berkata e-sisa tersebut dipercayai diimport dari beberapa negara seperti Bolivia, Thailand, Oman, India dan Amerika Syarikat untuk diproses di kilang tersebut sebelum dieksport semula bagi pelbagai tujuan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS Perak Muhamad Rizal Ramli berkata kesalahan yang dilakukan oleh premis tersebut adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kilang berkenaan didapati mempunyai dua kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi mengikut Seksyen 18(1) serta kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di bawah Seksyen 34 A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Beliau berkata sampel rasmi kesemua e-sisa itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan sebelum tindakan pendakwaan dibuat.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.