AGENDA

Negeri bakal perkenal Dasar OKU Selangor, pertama di peringkat negeri

15 Feb 2025, 10:00 AM
Negeri bakal perkenal Dasar OKU Selangor, pertama di peringkat negeri

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor sedang merangka fasa akhir Dasar OKU Selangor yang bakal memberi manfaat serta mengiktiraf peranan golongan berkenaan.

Pengerusinya Danial Al-Rashid berkata dasar OKU pertama peringkat negeri dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun ini selepas pembentangan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita jangka dasar ini akan dilancarkan pertengahan tahun ini, selepas pembentangan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dijangka pada Mei ini.

“Selepas siap, kita akan buat jerayawara (road tour) dan sesi libat urus dengan semua pihak supaya pembangunan kita pada masa akan datang akan lebih mesra OKU,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui selepas meninjau Karnival Kerjaya DUN Batu Tiga anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Dewan Beringin, Seksyen 24 di sini, hari ini.

Danial menambah, Dasar OKU Selangor digubal khusus untuk setiap peringkat umur melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, pengangkutan, capaian dan sebagainya.

Jelasnya, dasar tersebut akan dijadikan garis panduan dengan semua anak syarikat negeri serta jabatan akan menjadi agensi pelaksana utama.

“Kadang-kadang kita buat bangunan cantik-cantik tetapi OKU tidak boleh masuk. Mereka ini juga ada hak untuk ke stadium tengok bola, pergi beriadah dan ke pusat beli belah,” katanya.

Untuk rekod, golongan OKU di negara ini hanya dilindungi menerusi Akta OKU 2008 yang memperuntukkan perkara berkaitan pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619