AGENDA

Malaysia, Mesir senada, tolak usaha 'halau' penduduk Gaza

14 Feb 2025, 3:29 PM
Malaysia, Mesir senada, tolak usaha 'halau' penduduk Gaza

KUALA LUMPUR, 14 FEB:Malaysia dan Mesir senada dalam pendirian menolak usaha "menghalau" rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza kerana langkah itu bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disuarakan ketika beliau menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi hari ini, yang antara lain menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.

“Saya turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di laman sosial beliau.

Anwar berkata El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Gerakan membantu Palestin, kata beliau pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir dan mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619