ad
AGENDA

Badminton: Tze Yong kembali berlatih, dijangka sertai kejohanan pada April

14 Feb 2025, 3:19 PM
Badminton: Tze Yong kembali berlatih, dijangka sertai kejohanan pada April

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yon kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, sejak minggu lepas dan dijangka membuat kemunculan semula pada April ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu berkata sesi latihannya terpaksa dihadkan kepada lebih kurang sejam berikutan masih menghadapi trauma jika mengalami kesakitan, dan pada masa sama bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

“Dalam seminggu, saya dapat berlatih tiga kali kerana di ISN (Institut Sukan Negara) pun ada (latihan). Memang saya dapat menjalani latihan penuh tetapi tempoh itu tidak terlalu lama, lebih kurang sejam.

"Kalau ada rasa sakit memang akan rasa trauma namun tetap positif sebab sudah kembali dalam gelanggang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebagai rekod, Tze Yong hanya beraksi tiga kejohanan pada musim lepas, sebelum terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang dialami.

"Kondisi saya sudah semakin baik, kira-kira dalam 60 peratus tetapi kena tengok semula bagaimana. Memang saya sasarkan April (kembali beraksi) dan gunakan (perlindungan) ranking untuk bermain setengah tahun," katanya.

Sebelum ini, jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, berkata Tze Yong perlu menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan sebelum akhir April bagi mengekalkan kedudukan ke-18 selama enam bulan lagi.

Sekiranya Tze Yong gagal berbuat demikian, beliau akan kehilangan semua mata ranking dan terkeluar sepenuhnya daripada senarai ranking dan memaksanya untuk memulakan semula dari awal.

-- BERNAMA

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.