AGENDA

Warga emas lakukan amang seksual terhadap anak saudara dipenjara enam tahun, sebatan

14 Feb 2025, 7:35 AM
Warga emas lakukan amang seksual terhadap anak saudara dipenjara enam tahun, sebatan

SEREMBAN, 14 FEB: Warga emas dijatuhkan hukuman penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan mengugut melakukan aktiviti sosial terhadap anak saudaranya, awal bulan ini.

Hakim Datin Surita Bidin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman terhadap lelaki berusia 63 tahun itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 9 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pesara didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Seremban 2, antara 6.30 hingga 8.30 pagi pada 3 dan 4 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa mengugut mangsa untuk melakukan aktiviti yang bersifat seksual di lokasi sama kira-kira 6.30 pagi pada 4 Feb, dan didakwa mengikut Seksyen 15B(a) AKSTKK 2017 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ketika rayuannya memohon mahkamah menawarkan jaminan yang rendah kerana menghidap strok kecil selain perlu menanggung dua isteri dan dua anak serta menyesal atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menetapkan hukuman penjara dan sebatan yang setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.

“Usia mangsa adalah 12 tahun dan perlu ambil kira kekerapan kes seksual yang tidak gagal dipertuduhkan. Dalam kes ini, tertuduh merupakan bapa saudara mangsa dan dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa masih bersekolah dan tinggal bersama ibu saudara dan tertuduh, kerana bapa kandungnya dirawat di Hospital Serdang akibat masalah jantung dan ibu mangsa menemani bapanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619