PETALING JAYA, 13 FEB: Kerajaan persekutuan memperuntuk RM185 juta tahun ini untuk membaik pulih kemudahan asas di 358 program perumahan rakyat (PPR) seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembaikan termasuk mengecat, menaik taraf bumbung dan lif serta kemudahan asas lain demi keselesaan penduduk.
“Tahun ini sahaja kerajaan peruntuk RM185 juta berbanding dua tahun lepas RM100 juta, menjadikan setakat ini jumlah disediakan sebanyak RM285 juta.
“Saya tiada masalah sebab ini bukan membazir, sebaliknya kerajaan mengambil tanggungjawab untuk membantu membaiki kemudahan asas demi masyarakat setempat," katanya.
[caption id="attachment_686716" align="aligncenter" width="764"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penduduk setempat pada majlis meraikan Forum Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Dewan Serbanguna PPR Lembah Subang 1 pada 13 Februari 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Terdahulu, berucap pada majlis perasmian Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan peruntukan RM1.2 juta untuk membaiki lif di situ.
Beliau menjelaskan dana tersebut akan diluluskan segera dan tindakan perlu diambil selewatnya sebelum raya serta dilaksana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dalam pada itu, Anwar mengarahkan KPKT, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan mendapatkan senarai nama penduduk bagi pemeriksaan lanjut berkaitan bayaran sewa.
“Mungkin perkara ini ada yang tidak setuju tetapi semua penduduk perlu mengambil tanggungjawab membayar sewa yang dikenakan kepada mereka bagi menikmati kemudahan diberikan.
“Tunggakan mungkin boleh dibincang, namun sewa perlu dibayar supaya penduduk dapat hidup selesa. Masing-masing perlu jalankan tanggungjawab,” katanya.