AGENDA

Perak, Selangor jalin kerjasama tarik pelancong China

11 Feb 2025, 11:10 AM
Perak, Selangor jalin kerjasama tarik pelancong China

IPOH, 11 FEB: Perak buat julung kali bekerjasama dengan Selangor dan Negeri Sembilan untuk mempromosikan pelancongan rentas negeri, inisiatif yang dijangka menarik lebih ramai pelancong dari China ke negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata langkah yang digerakkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) ini menawarkan pelbagai pilihan produk pelancongan kepada pelancong daripada pelbagai latar belakang.

“Kerjasama ini mewujudkan rantaian destinasi, membolehkan pelancong dari China tidak hanya tertumpu di Selangor atau Negeri Sembilan tetapi turut menikmati pengalaman unik di negeri ini.

“Produk pelancongan yang ditawarkan juga boleh disesuaikan mengikut keperluan mereka, sama ada bersama keluarga, pasangan atau secara individu,” katanya selepas menghadiri Sesi Padanan Perniagaan sempena Program Familiarization Trip dari China ke Perak, hari ini.

Beliau berkata inisiatif ini turut memperkenalkan lokasi ikonik seperti Bandar Diraja Kuala Kangsar, Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) dan Muzium Perlombongan Kampar kepada pelancong antarabangsa, sekali gus menjana pendapatan negeri.

Selain itu, Loh berkata seramai 55 penggiat utama industri pelancongan dari China bersama 30 penggiat tempatan telah menyertai program itu yang memberi peluang kepada mereka meneroka peluang perniagaan dalam bidang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Loh memohon peruntukan RM52 juta bagi mempercepatkan fasa kedua naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), termasuk pembinaan infrastruktur baharu dan penambahbaikan logistik.

“Projek ini bernilai RM60 juta secara keseluruhan dan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bernilai RM8 juta telah 90 peratus siap, namun fasa kedua perlu disegerakan bagi menampung pertambahan pelancong,” katanya.

Pada 31 Jan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dengan peruntukan itu, LTSAS mampu menampung 700,000 penumpang setahun berbanding 500,000 ketika ini.

Selain itu, sebuah terminal kargo juga akan dibina di tanah seluas lebih 10 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhampiran lapangan terbang tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619