AGENDA

PM: Thaipusam simbol ketabahan, serlah semangat perpaduan dalam kepelbagaian

11 Feb 2025, 12:00 AM
PM: Thaipusam simbol ketabahan, serlah semangat perpaduan dalam kepelbagaian

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memperkukuh semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperat kasih sayang bersempena perayaan Thaipusam yang akan disambut esok, oleh penganut beragama Hindu di negara ini.

Beliau berkata bagi penganut Hindu, sambutan Thaipusam bukan sekadar sebuah perayaan, akan tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan. Thaipusam turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan hidup.

“Thaipusam tidak hanya itu, ia juga menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian, khususnya dalam konteks kenegaraan. Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana penuh dengan rasa hormat, kebersamaan, dan kekeluargaan.

“Tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, kita saksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif; yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata dalam dunia yang semakin tidak menentu, semangat saling menghormati dan menerima perbezaan harus menjadi tunjang perpaduan. Keunikan budaya dan amalan yang berbeza ini sebagai harus dilhat sebagai kekuatan, bukan pemisah atau elemen yang memecah-belahkan.

Menurut beliau, ciri-ciri ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati, bukan hanya di rantau ini, malah seantero dunia.

“Rakyat Malaysia merupakan rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian yang boleh dijadikan ruang untuk saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.

“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbezaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan. Walhasil, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip berdamping (coexistence),” katanya.

Malah, Anwar mengingatkan hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain sahaja dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619