AGENDA

Polis: Suspek kes tembak di pusat beli-belah Setia Alam dikenal pasti

9 Feb 2025, 2:34 AM
Polis: Suspek kes tembak di pusat beli-belah Setia Alam dikenal pasti

SHAH ALAM, 9 FEB: Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki warga tempatan berumur 30-an yang berkulit cerah itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Polis sedang giat mengesan dan berusaha untuk menangkap suspek. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hussein berkata pihaknya telah menerima tujuh laporan polis yang dibuat oleh saksi awam dan beliau menggesa mereka yang melihat atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad menerusi talian 016-7252948.

Terdahulu, Hussein berkata polis Selangor mengesahkan menerima maklumat orang awam berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa dalam kejadian itu bekerja sebagai tukang cuci di dalam premis berkenaan dan ketika dia sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1, suspek tiba-tiba telah melepaskan empat das tembakan mengenai kaki serta punggung mangsa.

“Walaupun mengalami kecederaan, mangsa terus melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2.

“Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung pusat beli-belah itu sambil mengacukan pistol kepadanya serta memaksa untuk membawanya keluar dari kawasan Shah Alam,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata ketika melalui sebuah lebuh raya, suspek telah meminta untuk berhenti di tepi jalan sebelum menghilangkan diri.

Semalam, tular dalam media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat-beli belah di Setia Alam.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619