AGENDA

Prihatin nasib bapa besar 16 anak, PM hulur bantuan wang tunai, baik pulih rumah

7 Feb 2025, 12:30 PM
Prihatin nasib bapa besar 16 anak, PM hulur bantuan wang tunai, baik pulih rumah

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang bapa yang membesarkan 16 anak, dikenali sebagai Salim, di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.

Sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri Ziarah MADANI bagi mengurangkan beban keluarga itu.

“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan keperluan untuk membaik pulih rumah keluarga Encik Salim dan telah pun mengarahkan usaha membaik pulih rumah keluarga ini untuk dilaksanakan,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.

Ahmad Farhan berkata beliau sungguh hiba dengan ketabahan Salim bersama isteri membesarkan 16 anak yang lapan daripadanya tinggal bersama di rumah kecil itu, dengan empat daripada mereka masih bersekolah.

“Sempat saya berbual bersama, beliau menceritakan dengan pendapatan hanya RM1,000 sebulan, sukar untuk beliau membaiki keadaan rumah kecil ini, maka keperluan anak-anak harus menjadi keutamaannya.

“Kehidupan Encik Salim mungkin mencabar, tetapi beliau tidak pernah berhenti mengerah kudrat yang ada untuk terus menyara keluarga … saya mendoakan Encik Salim dan keluarga terus cekal menjalani hari-hari yang mendatang,” katanya.

Justeru, Ahmad Farhan berkata ikhtiar Ziarah MADANI akan terus diperkasakan kerana menyedari masih banyak lagi keluarga seperti Salim yang perlu dibantu dan disantuni bersama.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619