AGENDA

Kenyataan menteri isu beras, harga lantai padi di Parlimen Khamis depan

7 Feb 2025, 11:18 AM
Kenyataan menteri isu beras, harga lantai padi di Parlimen Khamis depan

PUTRAJAYA, 7 FEB: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 13 Feb ini mengenai isu beras, khususnya berhubung harga lantai bagi padi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menerusi sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

“Ini (kenyataan menteri) akan disampaikan di Parlimen dan sejurus selepas kenyataan menteri itu akan ada perbahasan. Jadi kita sama-sama tunggu kenyataan penuh daripada menteri pada 13 Feb ini,” katanya.

Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutama melibatkan harga beras.

Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.

Bagaimanapun Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.

Mohamad pada 11 Nov 2024 dilaporkan berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut membincangkan cadangan menetapkan harga lantai belian padi pada RM1,500 per tan metrik dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Ditanya perkembangan mengenai pelesenan media sosial, sama ada terdapat tambahan penyedia perkhidmatan lain yang akan diberikan lesen operasi, beliau berkata kerajaan akan memberikan maklumat mengenai perkara itu minggu hadapan.

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial ByteDance (TikTok), Tencent (WeChat) dan Telegram telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.

Gergasi media sosial Meta kini dalam peringkat akhir mendapatkan lesen berkenaan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619