AGENDA

Mesir tolak pemindahan rakyat Palestin, membangkit semula sengketa

7 Feb 2025, 3:28 AM
Mesir tolak pemindahan rakyat Palestin, membangkit semula sengketa

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Mesir menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan atau konsep yang bertujuan menghapuskan perjuangan rakyat Palestin menerusi pemindahan dari tanah air mereka secara paksa, sambil memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap kestabilan serantau.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir, negara itu menentang sekeras-kerasnya kenyataan beberapa anggota Kerajaan Israel baru-baru ini mengenai rancangan untuk mengusir rakyat Palestin, menyifatkan tindakan sedemikian sebagai "pelanggaran terang-terangan" terhadap undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

"Mesir memberi amaran mengenai akibat buruk yang mungkin timbul daripada tindakan tidak bertanggungjawab ini, yang boleh menjejaskan rundingan mengenai perjanjian gencatan senjata.

Tindakan ini memprovokasi semula persengketaan dan membawa risiko kepada seluruh rantau serta asas-asas keamanan,” menurut kenyataan itu, yang dikongsi Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur dengan Bernama pada Jumaat.

Kerajaan Mesir menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang rancangan pemindahan, sama ada secara sementara atau kekal, serta menuntut kebertanggungjawapan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap hak rakyat Palestin.

Kenyataan itu turut menekankan keperluan menangani punca utama konflik, mengetengahkan pendudukan , penindasan dan pemindahan yang dideritai rakyat Palestin selama beberapa dekad.

"Mesir mengulangi keperluan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dalam tiga fasa secara kekal.

Ia berhasrat untuk segera bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam melaksanakan pelan pemulihan awal, pembersihan runtuhan dan pembinaan semula dalam tempoh masa yang ditetapkan, tanpa sebarang pemindahan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Mesir turut menegaskan komitmennya untuk memastikan hak rakyat Palestin kekal di tanah air bersejarah mereka serta menggesa tindakan antarabangsa segera bagi mengelakkan ketegangan daripada meningkat.

Pada Rabu, media antarabangsa melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan Washington "mengambil alih" Gaza dan membangunkannya semula, satu cadangan yang menerima kecaman meluas kerana melanggar undang-undang antarabangsa serta mengabaikan hak rakyat Palestin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619