AGENDA

Hapus monopoli, senarai syarikat baharu diberi lesen pemeriksaan kenderaan diumum esok

6 Feb 2025, 8:26 AM
Hapus monopoli, senarai syarikat baharu diberi lesen pemeriksaan kenderaan diumum esok

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) yang baharu esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkembangan terkini ini susulan keputusan kerajaan yang memutuskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi menjadi badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak tahun lepas.

“Kita mengharapkan apabila kita membuka pasaran ini, adanya persaingan dari segi perkhidmatan, ia akan meningkatkan mutu pemeriksaan kenderaan supaya kita sama-sama pastikan integriti pemeriksaan kenderaan ini akan dapat ditingkatkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin mengetahui sejauh mana amalan monopoli yang dibiarkan kepada satu syarikat sejak 1994 telah menyebabkan kewujudan sindiket yang bersekongkol untuk meluluskan kenderaan yang tidak selamat.

Terdahulu, Loke berkata proses penilaian terhadap permohonan yang dikemukakan telah selesai melibatkan semakan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keupayaan kewangan serta melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata ketika ini, Puspakom tidak lagi memiliki konsesi sebaliknya hanya lesen untuk beroperasi bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan motor.

“Saya tidak mahu menyimpulkan bahawa sindiket atau isu rasuah ini berhubung kait dengan dasar monopoli. Tetapi secara umumnya, kita rasa bahawa kalau sesuatu industri itu ada unsur monopoli, ia kadang kala akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Itu sebabnya kita menggalakkan ada persaingan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619