AGENDA

Jakim berhak tarik balik sijil halal jika terdapat ketidakpatuhan

5 Feb 2025, 12:56 PM
Jakim berhak tarik balik sijil halal jika terdapat ketidakpatuhan

BANGI, 5 FEB: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mempunyai kuasa untuk menarik balik pensijilan halal yang diberikan kepada syarikat dan peniaga pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan, kata Pengerusi Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA) Mohd Rizal Ismail.

Beliau berkata, oleh itu, peniaga diingatkan untuk sentiasa memastikan produk yang dijual adalah daripada sumber yang halal, bersih, dan selamat untuk pengguna.

"Yang penting sekali, selepas mendapat pensijilan halal, peniaga perlu menjaga kualiti kerana pihak Jakim mempunyai prosedur untuk menarik sijil halal sekiranya terdapat aduan.

"Bermakna selepas mendapat sijil halal, mereka tidak boleh terus melupakan aspek ini tetapi mesti sentiasa menjaga sehingga tamat tempoh sijil," katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan pensijilan halal kepada cawangan rangkaian kedai serbaneka emart24 di sini hari ini.

Mohd Rizal yang mewakili Jakim berkata pemeriksaan secara rambang boleh dilakukan pihak berkuasa bagi memantau sebarang ketidakpatuhan terhadap aspek pensijilan halal, termasuk jika menerima aduan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holding Sdn Bhd Vuitton Pang memuji Jakim kerana membantu memudahkan proses pensijilan halal walaupun ia dilaksanakan dengan teliti.

"Sudah tentu proses untuk menerima pensijilan halal dan untuk sampai ke tahap ini memenatkan, namun sokongan daripada pasukan Jakim yang berdedikasi menjadikan perjalanannya sangat lancar.

"Jadi, sesiapa sahaja boleh memperoleh pensijilan halal, hanya bergantung kepada usaha dan kemahuan untuk melakukannya," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan pensijilan halal untuk semua 84 cawangan sedia ada dan cawangan baharu menjelang awal 2026, dengan sasaran lima cawangan memperoleh sijil itu setiap bulan.

"Sebagai jenama yang berpegang teguh kepada prinsip keterangkuman, matlamat kami adalah untuk penuhi keperluan komuniti dan hormati nilai agama di Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619