PBT

MBSA benar jual mercun di empat bazar Ramadan, lesen terhad lima peniaga

5 Feb 2025, 8:59 AM
MBSA benar jual mercun di empat bazar Ramadan, lesen terhad lima peniaga

SHAH ALAM, 5 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hanya membenarkan penjualan mercun dan bunga api di empat bazar Ramadan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kebenaran tersebut terhad kepada lima peniaga membabitkan bazar Ramadan di Seksyen 19, Seksyen 13, Seksyen 20 dan Seksyen 17.

“Kita masih benarkan penjualan mercun dan bunga api untuk Aidilfitri tetapi hanya di empat bazar terpilih sahaja.

“Kita sediakan lesen kepada lima peniaga di setiap bazar di empat lokasi terbabit,” katanya ketika ditemui di sesi dialog awam projek tebatan banjir Setia Alam di sini, hari ini.

Bulan lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengumumkan larangan penjualan mercun dan bunga api di semua bazar Ramadan bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dilapor berkata, peniaga hanya dibenarkan menjual bunga api dan mercun dalam radius 25m dari bazar Ramadan demi menjamin keselamatan pengguna.

Sementara itu, Mohd Fauzi memaklumkan bazar Ramadan di Stadium Shah Alam tetap berjalan seperti biasa tahun ini meski pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sudah bermula.

Menurutnya, MBSA telah mengambil kira setiap risiko dan tahap keselamatan selain tapak bazar Ramadan terbabit tidak terlibat dengan projek KSSA.

“Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam masih ada tahun ini. Semuanya seperti biasa dari segi jumlah peniaga dan sebagainya. Kita tidak ubah apa-apa,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619