AGENDA

AS akan ambil alih Semenanjung Gaza, kata Trump

5 Feb 2025, 7:18 AM
AS akan ambil alih Semenanjung Gaza, kata Trump

WASHINGTON, 5 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata bahawa "AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza," tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu.

"AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan melaksanakan tugas itu dengan baik.

“Kami akan membersihkan kawasan itu, membangunkan ekonomi serta menyediakan pekerjaan dan perumahan tanpa had kepada penduduk," lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan Trump dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Terdahulu, dalam pertemuan dengan Netanyahu di Pejabat Oval, Trump mencadangkan agar Jordan dan Mesir menerima pelarian Palestin dari Gaza, dengan alasan bahawa wilayah itu kini hanya tinggal "runtuhan" dan tidak lagi sesuai untuk didiami.

"Saya tahu mereka telah berbincang dan mengatakan mereka tidak akan menerima. Saya katakan mereka akan menerimanya, malah saya percaya negara lain juga akan menerima.

"Jadi saya rasa penduduk tidak seharusnya kembali ke Gaza. Gaza tidak membawa tuah kepada mereka," katanya.

Cadangan kontroversi Trump itu mendapat kecaman meluas, dengan ramai pihak menyifatkannya sebagai "pembersihan etnik" dan "jenayah perang."

Jordan dan Mesir, bersama beberapa negara serantau serta negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman menolak keras cadangan penempatan semula Trump.

-BERNAMA-AA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619