AGENDA

Gencatan senjata: Hamas sahkan rundingan fasa dua perjanjian bermula

4 Feb 2025, 11:45 PM
Gencatan senjata: Hamas sahkan rundingan fasa dua perjanjian bermula

GAZA CITY, 5 FEB: Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah bermula, lapor Agensi Anadolu.

"Rundingan dan hubungan bagi fasa kedua telah bermula, dan tumpuan kami adalah kepada perlindungan, bantuan serta usaha membangunkan semula kehidupan rakyat kami di Gaza," kata jurucakap kumpulan itu, Abdel Latif al-Qanoua, dalam satu kenyataan.

Beliau menuduh Israel sengaja "melewatkan pelaksanaan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata serta melengahkan pelaksanaannya."

"Perlindungan dan bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mendesak yang tidak boleh tertakluk kepada kelewatan oleh Israel," tambahnya.

Qanoua menegaskan bahawa usaha membangunkan semula hospital, membaiki jalan raya serta memulihkan telaga air adalah penting bagi menghidupkan kembali Gaza selepas kemusnahan besar akibat perang Israel.

Israel pada awal Selasa menyatakan bahawa pihaknya akan menghantar pasukan perunding ke Qatar hujung minggu ini bagi membincangkan fasa kedua perjanjian Gaza.

Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa pasukan itu akan membincangkan "butiran teknikal berkaitan meneruskan pelaksanaan" perjanjian tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Netanyahu dengan utusan khas Amerika Syarikat Steve Witkoff dan Penasihat Keselamatan Negara Michael Waltz di Washington, apabila mereka membincangkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata Gaza.

Rundingan bagi fasa kedua perjanjian itu dijadualkan bermula pada Isnin, namun Netanyahu memutuskan untuk tidak menghantar pasukan perundingnya ke Doha sehingga selepas pertemuannya dengan Trump pada Selasa.

Fasa enam minggu pertama perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 47,500 nyawa serta menyebabkan wilayah itu musnah teruk.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang yang dilancarkan ke atas wilayah itu.

-BERNAMA-AA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619