SHAH ALAM, 4 FEB: Novel Perincian tersenarai antara 10 terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) paling laris di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 (KLAB 2025) dari 29 Januari hingga 2 Februari lalu.
Karya terjemahan asal ‘Tafsil Thanawi’ karya Adania Shibli itu mengangkat kisah benar mengenai tragedi ngeri wanita Palestin yang menjadi mangsa kezaliman tentera Israel sejak dahulu.
IBDE menerusi Facebook memaklumkan naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal sebagai kedua terlaris. Buku riwayat hidup Rasulullah itu terjual lebih 100,000 naskhah sejak diterbitkan pada 2021.
Buku lain yang menjadi pilihan pengunjung KLAB 2025 ialah Hadis 40 Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa, Kisah Hidup Imam Al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan dan Republik Marga Satwa.
Turut mendapat sambutan buku Penaklukan Andalusia, Hikayat Hayy bin Yaqzan: Manusia Asuhan Rusa, Khianat dan Apa Itu Tasawuf?.
"Berjuta penghargaan buat semua bukuwan budiman yang sudi berkunjung ke reruai buku IBDE sepanjang lima hari berlangsung KLAB 2025.
"Mudah-mudahan usaha terjemahan kami semakin mendapat sambutan dan memberi manfaat ilmu kepada anda sekalian. Terima kasih dan semoga kita berjumpa lagi di KLAB 2026," kongsi syarikat penerbitan itu.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan www.bukuibde.com,Tiktok, Shopee dan Lazada: Buku IBDE.