AGENDA

Menteri sahkan terima surat letak jawatan naib canselor UKM, hormati keputusan

4 Feb 2025, 6:20 AM
Menteri sahkan terima surat letak jawatan naib canselor UKM, hormati keputusan

TANJONG MALIM, 4 FEB: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman beberapa hari lepas.

Zambry berkata pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.

"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (Naib Canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad.

Mohd Ekhwan kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.

Sementara itu, Zambry berkata beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat Mohd Ekhwan selama menjawat jawatan itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619