AGENDA

Kebenaran atasi kebatilan, MB syukur isu fitnah projek Selangor selesai

3 Feb 2025, 1:19 PM
Kebenaran atasi kebatilan, MB syukur isu fitnah projek Selangor selesai

SHAH ALAM, 3 FEB: Dato' Menteri Besar menzahirkan kesyukuran selepas isu fitnah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) selesai dengan permohonan maaf Pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata permohonan maaf secara terbuka Badrul atau dikenali Chegubard di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu lalu, membuktikan kebenaran mengatasi kebatilan.

"Fitnah ini telah dijaja oleh Perikatan Nasional (PN) semasa kempen pilihan raya negeri yang lalu. Pelbagai tohmahan serta serangan yang dilempar kepada Kerajaan Negeri Selangor dan saya sendiri dengan cubaan mengaitkan saya dengan naratif fitnah yang dibawa PN.

"Pelbagai penafian dan bukti telah saya kemukakan malah saya sendiri telah menjawab segala tuduhan berkenaan di sidang media.

"Terbukti budaya fitnah yang sebati dengan PN ini adalah budaya dangkal. Tolak politik fitnah," tulisnya menerusi Facebook.

Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung saman fitnah yang dikemukakan terhadap Chegubard.

“Chegubard mengakui tuduhan tersebut tidak berasas dan menyatakan kekesalan terhadap kesan kenyataan serta tuduhan fitnah beliau yang menjejaskan reputasi serta menyebabkan tekanan dan kerugian kepada LLSB,” katanya dalam kenyataan.

Menurut anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) itu, Chegubard juga berjanji untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan palsu atau berunsur fitnah lagi berhubung perkara tersebut, sama ada terhadap LLSB mahupun projek SMG.

“LLSB mengalu-alukan penyelesaian isu ini dan melihatnya sebagai satu perkembangan positif yang menegaskan dedikasi kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasi, serta komitmen kami dalam menegakkan prinsip-prinsip ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619