SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan hasutan di media sosial hingga menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah belah.
Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu tegas dan proaktif dalam memberikan maklumat yang betul serta dipercayai, selain membendung jenayah siber dan meningkatkan keselamatan.
"Pengukuhan infrastuktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini hendaklah dilaksanakan segera.
"Namun begitu, suka saya ingatkan masyarakat sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian dan pencurian identiti," titah Baginda.
Baginda menyampaikan titah berkenaan ketika menyempurnakan istiadat pembukaan penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru kerajaan memperkasa sektor pertanian, komoditi dan rantaian bekalan, selain memastikan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera terus dilaksana.
Baginda berharap kerajaan juga terus komited membantu rakyat memiliki kediaman mampu milik serta menambah baik semua infrastruktur asas termasuk kesihatan dan pendidikan.
"Langkah kerajaan melaksana agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti," titah Baginda.