AGENDA

Mahasiswa rugi lebih RM100,000 terpedaya sindiket panggilan telefon

1 Feb 2025, 7:40 AM
Mahasiswa rugi lebih RM100,000 terpedaya sindiket panggilan telefon

KUANTAN, 1 FEB: Seorang mahasiswa kerugian dianggarkan RM147,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak Shopee dan pegawai polis, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 20 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform e-dagang tersebut yang memaklumkannya telah mengiklankan barangan menyalahi undang-undang, pada 23 Jan lepas.

Beliau berkata panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan diberitahu turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek meminta lelaki membuat pemindahan wang bagi mengelakkan ditangkap dan membersihkan rekod daripada kes jenayah. Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan barang kemas milik emaknya yang dianggarkan bernilai RM100,000 kepada seorang perempuan tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila ibunya mempersoalkan kehilangan barangan kemas miliknya serta kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619