AGENDA

Trump: Tarif 100 peratus jika negara BRICS cipta mata wang baharu

31 Jan 2025, 1:13 PM
Trump: Tarif 100 peratus jika negara BRICS cipta mata wang baharu

MOSCOW, 31 JAN: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara BRICS sekiranya blok itu mencipta mata wang baharu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Idea untuk negara BRICS cuba beralih daripada dolar, sementara kami hanya melihat, sudah berakhir. Kami akan menuntut komitmen daripada negara yang kelihatan bermusuhan ini agar mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS, jika tidak, mereka akan berdepan tarif 100 peratus dan boleh mengucapkan selamat tinggal kepada ekonomi AS," kata Trump di Truth Social.

Beliau menegaskan, tiada kemungkinan dolar AS boleh digantikan dalam perdagangan antarabangsa.

"Tiada peluang BRICS akan menggantikan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa atau di mana-mana sekalipun dan mana-mana negara yang mencuba harus bersedia berdepan tarif dan mengucapkan selamat tinggal kepada Amerika!" tulis Trump.

Laporan terdahulu menyatakan bahawa negara-negara BRICS membincangkan kemungkinan mengembangkan penyelesaian dalam mata wang negara dan mencipta mata wang bersama dalam blok tersebut, tetapi tiada keputusan muktamad dibuat mengenai isu itu.

BRICS ialah sebuah blok antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil, dengan Afrika Selatan menyertai pada 2011. Sejak awal 2024, beberapa negara lain turut menyertai BRICS.

- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619