AGENDA

Tiga lelaki termasuk warga Britain ditahan bersama 61.3 kg dadah di KLIA

31 Jan 2025, 9:24 AM
Tiga lelaki termasuk warga Britain ditahan bersama 61.3 kg dadah di KLIA

SHAH ALAM, 31 JAN: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama 61.3 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 pada 22 dan 24 Jan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kes pertama melibatkan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 18 tahun berasal dari Sarawak ditahan ketika menarik bagasi di KLIA Terminal 2 pada jam 5.30 petang, 22 Jan lalu.

"Hasil pemeriksaan polis menemui 30 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 30.3 kg, yang dianggarkan bernilai RM967,000.

Kedua-dua suspek pertama kali menjejakkan kaki ke Semenanjung Malaysia dan telah dibawa menginap di sebuah apartmen servis di Kota Warisan, Sepang oleh sindiket tersebut.

"Mereka dipercayai berhubung dengan sindiket melalui media sosial dan ditugaskan membawa bekalan dadah untuk pasaran Sarawak, khususnya di Miri. Mereka ditawarkan upah sebanyak RM600 bagi setiap kilogram dadah yang dibawa," katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Katanya siasatan juga mendapati salah seorang suspek bekerja sebagai pemandu lori dan sudah berkahwin, manakala seorang lagi menganggur serta masih bujang.

Dalam kes kedua, seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun ditahan bersama 31 kg ketulan mampat yang dipercayai mengandungi ganja bernilai RM96,000 pada jam 10.30 malam, 24 Jan alu di sekitar KLIA Terminal 1.

“Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di luar negara dan memasuki Malaysia dari London pada 16 Jan lalu sebelum dijadualkan pulang ke sana bersama dadah tersebut,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati suspek warga asing itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah di Malaysia, namun saringan awal air kencingnya didapati positif dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619