AGENDA

Pasangan kekasih didakwa bunuh bayi perempuan di Port Dickson

31 Jan 2025, 8:45 AM
Pasangan kekasih didakwa bunuh bayi perempuan di Port Dickson

SEREMBAN, 31 JAN: Seorang wanita dan kekasihnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Jan lepas.

Nurul Ain Haslan, 19, dan Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut dengan niat bersama telah membunuh seorang bayi perempuan yang mengakibatkan kematian di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson antara 5.30 pagi hingga 4 petang pada 21 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Mahkamah menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang kekasih di dua lokasi berasingan selepas disyaki terlibat menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Telok Kemang, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada 11.13 pagi mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan telah melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.

Beliau berkata siasatan lanjut yang dijalankan telah menemukan bayi berkenaan disembunyikan dalam beg di bilik sebuah rumah di sini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619