AGENDA

Bah Sabah, Sarawak memburuk malam ini, jumlah mangsa terus bertambah

30 Jan 2025, 3:05 PM
Bah Sabah, Sarawak memburuk malam ini, jumlah mangsa terus bertambah

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 11,886 orang setakat 8 malam ini.

Di SARAWAK, jumlah mangsa meningkat kepada 7,503 orang daripada 2,096 keluarga berbanding 6,718 orang daripada 1,825 keluarga petang tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,922 orang daripada 471 keluarga yang berlindung di enam PPS, diikuti di daerah Serian dengan 1,882 mangsa daripada 593 keluarga ditempatkan di 16 PPS.

Di Selangau, sebanyak 728 mangsa daripada 151 keluarga masih berlindung di tiga PPS, di Tatau mencatatkan 426 mangsa daripada 129 keluarga di dua PPS dan di Kuching, seramai 402 mangsa daripada 151 keluarga berlindung di tiga PPS.

Sekretariat turut memaklumkan sebanyak empat PPS baharu telah diaktifkan, masing-masing di Bintulu, Serian, Gedong dan Selangau.

Sementara itu, di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam ini berbanding 3,929 mangsa daripada 1,365 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan kesemua mereka ditempatkan di 34 PPS di 10 daerah dengan Kota Marudu menjadi daerah paling ramai iaitu 2,355 orang diikuti Telupid (413), Lahad Datu (360), Pitas (379), Kota Belud (297), Beluran (185), Sandakan (118), Paitan (120), Beufort (102) dan Tongod seramai 54 mangsa banjir.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619