AGENDA

KPN: Lelaki ugut pelawak popular dan keluarga didakwa di mahkamah esok

30 Jan 2025, 12:00 PM
KPN: Lelaki ugut pelawak popular dan keluarga didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Seorang lelaki yang disyaki mengugut pelawak popular dan keluarganya baru-baru ini akan didakwa di mahkamah, esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata suspek berusia 31 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pagi esok.

“Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata tempoh reman lelaki berkenaan disambung tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat ini, selepas reman kali pertamanya tamat pada Selasa.

Sabtu lepas, media melaporkan polis menahan lelaki terbabit kerana disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap seorang pelawak popular berusia 54 tahun susulan hantaran di media sosial pelawak itu yang menyentuh isu ham.

Razarudin sebelum ini berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pengurus pelawak berkenaan Khamis lepas.

Media turut melaporkan polis telah mengambil keterangan pelawak itu selepas didakwa memuat naik hantaran ketika kontroversi status halal sandwic ham dan keju baru-baru ini yang dikatakan membuka ruang untuk mempersendakan agama Islam dan nama Nabi Muhammad SAW.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619