AGENDA

Pemandu rempuh pagar tabika dikesan bawa heroin

30 Jan 2025, 10:10 AM
Pemandu rempuh pagar tabika dikesan bawa heroin

MELAKA, 30 JAN: Polis menahan seorang lelaki bersama sepaket dadah selepas kereta yang dipandu merempuh pagar sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Paya Luboh, Tangga Batu di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dadah dipercayai jenis heroin dianggarkan seberat 15.46 gram itu ditemukan dalam poket kanan seluar yang dipakai lelaki berusia 55 tahun berkenaan ketika polis melakukan pemeriksaan kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

“Suspek dibawa ke Hospital Melaka oleh anggota bertugas bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, namun suspek didapati tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang tidak bekerja itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah, namun saringan air kencing gagal dilakukan.

Christopher berkata semakan polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619