AGENDA

JPJ menyamar jadi penumpang, kesan enam pemandu bas positif dadah

29 Jan 2025, 5:27 AM
JPJ menyamar jadi penumpang, kesan enam pemandu bas positif dadah

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan enam pemandu bas yang didapati positif dadah dalam Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) yang dijalankan di seluruh negara malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kesemua pemandu itu dikesan menggunakan bahan terlarang selepas menjalani ujian saringan air kencing, melibatkan 420 pemandu bas, dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Pengusaha bas perlu memastikan kesemua pemandu bebas daripada segala kesalahan jalan raya termasuklah gejala dadah sebelum mereka dibenarkan memandu bas sempena musim perayaan ini,” katanya pada sidang media selepas Op Khas TBC di Terminal Bersepadu Selatan, di sini malam tadi.

Beliau berkata sejak operasi bermula pada 20 Januari lepas, JPJ telah memeriksa 6,605 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara.

Aedy Fadly berkata hasil pemeriksaan, sebanyak 635 notis telah dikeluarkan ke atas kenderaan awam jenis bas, terdiri daripada 410 saman atas pelbagai kesalahan, 98 notis larangan penggunaan kereta motor, arah pemeriksaan (90 notis), permintaan butiran pemandu (16 notis) dan selebihnya merangkumi lain-lain kesalahan.

Beliau berkata antara kesalahan utama direkodkan ialah isu teknikal, termasuk 120 kes tayar botak.

“Alasan yang sering diberikan iaitu pemandu tidak sempat melihat keadaan tayar bas mereka. Namun pengusaha bas juga perlu bertanggungjawab bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Aedy Fadly, JPJ turut mengambil langkah menyamar sebagai penumpang untuk mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu bas sepanjang operasi ini.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Azmi Mustafa berkata kebanyakan pemandu yang gagal ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Alasan yang diberikan adalah mereka keletihan akibat tempoh kerja yang panjang dan mengambil dadah untuk kekal bertenaga,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619