AGENDA

Bakat tempatan perlu perkuat mental, saingi pemain naturalisasi, warisan

28 Jan 2025, 10:56 AM
Bakat tempatan perlu perkuat mental, saingi pemain naturalisasi, warisan

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Pemain tempatan perlu meningkatkan persediaan untuk bersaing dalam ‘pasaran terbuka’ bagi merebut tempat dalam pasukan kebangsaan, khususnya dalam menghadapi kehadiran pemain naturalisasi dan warisan.

Di sebalik kebimbangan ramai bahawa lambakan pemain naturalisasi boleh mengurangkan peluang bakat tempatan, jurulatih serta bekas pemain Mohd Nidzam Jamil melihatnya sebagai satu cabaran positif untuk meningkatkan persaingan.

“Saya rasa kita tidak boleh lari daripada isu naturalisasi kerana ia berlaku di banyak negara. Tetapi jika bakat tempatan hanya mengalah begitu sahaja, itu menunjukkan kekuatan mental kita tidak cukup kuat untuk bersaing. Ini bukan sahaja cabaran untuk pemain tetapi juga jurulatih kerana pasaran kini sudah terbuka,” katanya.

Menurutnya pertambahan pemain naturalisasi dan warisan ini diharapkan dapat meningkatkan ekosistem bola sepak negara secara keseluruhan termasuk pemain muda, pengurusan, liga serta prestasi skuad utama.

Nidzam memberikan pandangan tersebut ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku Bola Mental hasil tulisan bekas pemain kebangsaan Rosli Hussein di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Nidzam, 44, yang meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor FC pada hujung Oktober lepas, berkata beliau mahu berehat seketika bersama keluarga sebelum mempertimbangkan untuk kembali mengendalikan mana-mana pasukan.

Bekas jurulatih Felda United itu berkata beliau lebih gemar memilih pasukan yang mempunyai program pembangunan dan perancangan teratur dengan keputusan mungkin dibuat menjelang musim depan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas spekulasi mengenai kemungkinan perpindahan ke Negeri Sembilan FC.

Sementara itu, Rosli berkata beliau mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan buku Bola Mental, yang berdasarkan pengalamannya bermain bersama Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur pada era 1980-an.

Menurut bekas pengurus pasukan dan pengarah teknikal Felda United itu, aspek disiplin mental merupakan elemen penting yang sering terabai dalam bola sepak Malaysia.

“Buku ini menerangkan realiti disiplin mental bola sepak secara ringkas dan mudah difahami serta sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” kata bekas penolong setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619