AGENDA

Buat laporan palsu diculik, wanita Singapura didakwa di mahkamah

28 Jan 2025, 1:51 AM
Buat laporan palsu diculik, wanita Singapura didakwa di mahkamah

JOHOR BAHRU, 28 JAN: Seorang wanita warga Singapura yang sebelum ini mendakwa dirinya menjadi mangsa cubaan culik di kawasan sebuah pusat beli-belah di Taman Abad pada 10 Januari lepas, didapati membuat laporan palsu.

Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar berkata perkara itu disahkan berdasarkan hasil siasatan menerusi bukti-bukti teknikal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati insiden cubaan culik tersebut tidak berlaku. Rakaman CCTV serta bukti-bukti teknikal mengesahkan tiada pergerakan mangsa dikesan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata wanita berusia 45 tahun itu membuat laporan palsu pada 22 Januari, mendakwa dirinya cuba diculik oleh seorang lelaki dan wanita yang kononnya menawarkan teh untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina. Wanita itu juga mendakwa dipaksa menghidu teh tersebut sehingga merasa pening dan tidak sedarkan diri.

Menurut Kumar, wanita tersebut akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Kumar berkata kejadian tersebut turut tular di media sosial, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang mempercayai dakwaan itu.

“Malah, beberapa pempengaruh media sosial turut mengulas kejadian ini dengan mengaitkannya sebagai ancaman kepada keselamatan pelancong di Johor,” katanya.

Sehubungan itu, polis Johor memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta untuk mencetuskan kegusaran awam, terutamanya berkaitan isu keselamatan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619