ad
BUDAYA

Luah perasan melalui seni, pelukis muda kongsi derita Palestin

26 Jan 2025, 5:08 AM
Luah perasan melalui seni, pelukis muda kongsi derita Palestin
Luah perasan melalui seni, pelukis muda kongsi derita Palestin

Oleh AIDA NYAN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Dalam setiap lakaran dihasilkan, Ana Alasri menzahirkan suara hati untuk Palestin. Salah satu karya terbarunya, "Determined Resistance" menggabungkan simbol pokok zaitun dan ular, mencerminkan perjuangan dan harapan rakyat Palestin dalam keadaan yang penuh mencabar.

Pokok zaitun melambangkan ketahanan Palestin yang terus utuh meskipun berdepan pelbagai ujian. Manakala ular pula mengikut kalendar Cina, melambangkan perubahan dan azam baharu yang sentiasa mereka semai, meskipun serangan datang tanpa henti. Itu mesej yang ingin disampaikan melalui karya lukisan atas sampul surat menjelang Tahun Baharu Cina.

Berasal dari Damansara, wanita muda itu menjadikan seni sebagai medium untuk menyuarakan perasaannya terhadap isu Palestin. Sejak usianya 14 tahun, hatinya terusik apabila melihat kekejaman tentera zionis.

"Kisah paling meninggalkan kesan pada saya hingga kini adalah apabila kanak-kanak dan wanita tua dipukul oleh tentera zionis dengan teruk. Saya tonton video tu ketika berada di sekolah menengah," kata pelukis muda berusia 29 tahun ini.

[caption id="attachment_683921" align="alignnone" width="758"] Pelukis, Ana Alasri ketika berkarya di KL Gateway, Pantai Dalam pada pada 17 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Ana menghasilkan karya di atas pelbagai medium seperti sampul surat, kertas buatan sendiri dan kanvas. Lukisan yang dihasilkan juga pernah dibeli pelancong luar negara termasuk dari Jerman dan China.

Beliau juga menyalurkan hasil jualan yang diperoleh dengan harga sekitar RM150 sekeping buat mereka yang bernasib malang di Palestin.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata bakatnya mula tersemai sejak usianya 6 tahun apabila terlihat karya bapanya yang turut memiliki bakat yang sama.

Ketika itu beliau hanya beranggapan melukis hanyalah satu hobi namun lama-kelamaan dengan sokongan keluarga, Ana mula serius dan menjadikan melukis sebagai punca pendapatan.

Pembabitannya dalam dunia seni pada awalnya hampir menemui noktah ekoran pelbagai cabaran. Namun dengan nekad dan usaha berpanjangan dia meneruskan minatnya dan menanam impian untuk memiliki sebuah studio sendiri.

Harapan Ana hanya satu, dia ingin karyanya menjadi inspirasi buat pelukis di luar sana berani bersuara dan membuktikan kepada penduduk Palesin bahawa mereka tidak keseorangan.

"Saya nak menyumbang juga sebab Malaysia bukan sekadar seorang dua yang cakap pasal Palestin tapi seluruh Malaysia dan setiap lapisan masyarakat," katanya yang sentiasa berdoa agar Palestin mencapai kemerdekaan secepatnya.

[embed]https://youtu.be/bUkTvB8pVjo[/embed]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.