ad
BUDAYA

Buah Letup

26 Jan 2025, 12:30 AM
Buah Letup

suatu petang khamis selepas asar, di sebuah sudut bangunan tempat kerjaku, kelihatan pohon buah letup menjalar. daunnya halus, berselirat dan bergetar tanpa henti. kudengar ada suara berkata—bukan angin, bukan sajak, bahkan bukan juga buah-buah berbulu masih putik; bukan buah yang sama belum lagi dimakan burung atau memikul hakikat nama masing-masing—ada suara berkata kepadaku, suara itu berkata kepadaku: gemuruh ini hak kita. ia suatu anugerah. dalam manis takdir kelak meledak, aku hanya mengangguk seperti buah-buah bergantungan itu. kemudian pada suatu petang isnin selepas asar di bumi hijaz, aku biarkan suara yang telah senyap itu kekal lenyap. aku tinggalkan sajak ini tanpa sebarang geletar. tiada apa yang dapat kuberikan lagi. atau terima. hanya tergantung dan belum lagi mengerti makna selesai. sekali lagi. mengingatkan sajak tidak pernah menemukan jawapan. walaupun maksudnya meledak di depan muka. hanya soalan sahaja. bertaburan dan bertebaran. kelak tumbuh, menjalar dan berselirat. berbunga dan berbuah. merimbunkan lebih banyak pertanyaan. sekali lagi. di antara takdir dan pemberian. ranum tanpa perlu difahami. hanya tahu ia perlu (men)jadi.

Jack Malik

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.