AGENDA

Polis tahan tiga lelaki jual dadah di konsert ambang Tahun Baharu

25 Jan 2025, 7:56 AM
Polis tahan tiga lelaki jual dadah di konsert ambang Tahun Baharu

PETALING JAYA, 25 JAN: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual dadah pada konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway baru-baru ini. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Selangor antara 8 hingga 12 Jan lepas. 

“Seorang daripada tiga suspek terbabit dipercayai memang menghadiri konsert itu, manakala dua lagi tidak berada dalam konsert berkenaan. 

“Hasil soal siasat ke atas mangsa yang terselamat mendapati ada antara mereka yang membeli pil ekstasi dalam konsert terbabit, serta ada juga mereka yang mendapatkan pil itu di luar konsert,” katanya kepada pemberita hari ini.  

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen advokasi keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) di sini hari ini. 

Polis sebelum ini menerima enam laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung tujuh pengunjung konsert itu yang mendapat rawatan selepas mengalami simptom yang sama dipercayai mengambil dadah. 

Empat daripada mereka meninggal dunia, manakala tiga selamat dan sudah dibenarkan keluar hospital. 

Sementara itu, Hussein berkata pihaknya akan mengetatkan syarat-syarat untuk penganjuran konsert bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.  

“Antara syaratnya ialah kita akan melihat jenis muzik yang dimainkan, jumlah kehadiran penonton bergantung kepada lokasi penganjuran selain pihak penganjur juga perlu memastikan mereka mempunyai kit bantuan kecemasan awal. 

“Selain itu, PDRM juga akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak ataupun membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk penjualan dadah dalam penganjuran konsert itu,” katanya. 

 - BERNAMA 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619