Oleh Zulzafry Zulkifly
Ilustrasi Fahmi Mustaffa
Esak tangis Aliah melantun pada dinding kubikel bilik. Sudah hampir sejam tangis itu tidak putus dan tiada siapa melayan sedihnya. Bukan kami tidak dengar sedunya yang merayap keluar lewat ruang bawah pintu, tapi kami sendiri tidak tahu mahu diapakan. Jadi, kami hanya duduk membiarkan ribut di hatinya reda sendiri.
Dia baru pulang dari masjid tidak jauh daripada rumah kami. Tidak sampai beberapa minit dia tinggalkan rumah, wajahnya sudah kembali tercongok semula di muka pintu dengan mata yang bengkak. Pipi yang seputih kertas itu merah dengan malu dan sedih.
Sudah kami agak ini yang akan terjadi tapi siapa yang mahu menghalang Aliah? Hatinya sekeras besi waja.
Waktu awal-awal dia mahu kembali ke pangkal jalan, kami hanya berdiam diri. Tiada sesiapa yang percaya. Sangkaan buruk memenuhi hati kami, mungkin kerana duitnya yang sudah banyak buat dia malas mahu melakukan kerja terkutuk ini lagi.
Katanya, dia sudah jumpa ustaz. Dia mahu kembali menjadi lelaki. Insaf sudah mengetuk pintu hatinya dan hidayah sudah bersuluh. Kata ustaz, dia boleh kembali perlahan-lahan. Bertatih jika tidak mampu berjalan. Aliah gembira bukan kepalang. Ada juga dia ceritakan sebuah kisah daripada ustaz, tentang pelacur yang masuk syurga. Matanya bercahaya dengan sinar harapan dan suaranya bergetar teruja, memikirkan mungkin dia salah seorang yang akan diampunkan Tuhan.
Langkah pertama yang dia ambil dalam perjalanan ke pangkal jalan adalah dengan meminta kami kembali memanggilnya dengan nama aslinya, Ali.
Walau agak kekok, kami ikutkan sahaja meskipun kadang nama Aliah itu ringan sahaja meniti di lidah kami.
Aliah atau Ali, senyum sahaja. Dia pun mengerti dan tak salahkan kami. Memang sejak awal dia datang ke rumah ini pun, dia beritahu yang namanya Aliah.
Sejak itu, banyaklah perubahan yang berlaku. Pakaiannya sudah tidak mencolok mata. Tidak lagi memakai rok singkat dan baju belah dada. Baju T dan seluar jeans kembali membalut tubuh. Namun adakalanya kami akan lihat dia sarung baju kelawar waktu lena. Lebih selesa katanya.
Kadang jika keluar rumah, dia akan menyarung bengkung untuk menutupi lekuk-lekuk berahi yang tidak wajar ada pada lelaki.
Rambut ikal mayang berwarna perak yang sering kami puji itu dikerat pendek persis lelaki. Malah, sejak minggu lepas, perak warnanya sudah hilang. Kembali sehitam malam. Suara Ali juga tidak lagi terkepit di halkum. Sudah sedalam gaung layaknya jejaka. Tapi ada kalanya, terutama waktu kami bergelak ketawa, keluar juga suara kepit itu. Kami diamkan saja.
Dan sejak beberapa minggu lepas, Ali sudah mula berjinak-jinak ke surau dan masjid. Dia tahu dia bukan manusia yang diterima masyarakat. Tidak dianggap. Mahu ke saf perempuan, dia bukanlah seorang gadis. Mahu ke saf lelaki, badannya yang persis perempuan itu pasti akan jadi omongan. Bukan sekali dua dia dihalau ke saf wanita di balik tabir. Namun Ali tahu, bukan itu tempatnya.
Lagi pun, kata ustaz, dia memang tidak boleh duduk di mana-mana saf. Akan mendatangkan fitnah yang bertimbun-timbun. Maka duduklah Ali seorang di belakang saf kanak-kanak lelaki dan di hadapan saf wanita; di jalan tengah.
Dia tidak boleh lagi menjadi lelaki dengan keadaan badannya yang berlekuk dan punya timbulan persis perempuan itu. Malah, dia tidak akan boleh untuk jadi wanita walau sehebat mana dia mencuba. Tiada pilihan, jalan tengahlah yang terpaksa diambil dalam perjalanan pulang ke pangkuan Ilahi. Sekurang-kurangnya waktu ini.
Bukan jalan benar kalau laluannya terbentang karpet baldu merah. Jalan tengah yang diambil penuh dengan onak dan lubangnya. Saban kali seperti malam ini, Ali terhalang daripada menjejak rumah Ilahi. Manusia tidak punya imej sejati tidak layak ke kawasan suci seperti ini, tempelak Si Lebai.
Ali hanya menurut. Memang inilah natijah daripada perbuatannya. Dia sanggup. Malah demi mengembalikan badannya kembali seperti sediakala, turut dia beli pil hormon supaya mana yang sudah timbul, tenggelam seperti asalnya.
Memang renyah, namun sedikit demi sedikit Ali berubah secara fizikal dan mental.
Saban malam, akan ada tangis yang kami dengar sebaik pulang kerja lewat pagi. Kadang tangisnya di atas sejadah, kadang esaknya yang redam dalam tekupan bantal.
Ada juga dia mengajak kami ke jalan tengah sepertinya. Bukan kami tidak hendak, tapi melihatkan apa yang terjadi kepadanya, serasa tidak sanggup jiwa raga kami. Biarlah kami menipu dunia sekalipun dengan perubahan ini. Kami pernah merasai tidak diterima sekali dalam kehidupan ini kerana perbezaan naluri. Cukuplah itu. Sudah serik kami dihamun dimaki. Biarlah Ali seorang di jalan tengah.
Namun dia tetap dengan dakwahnya mengajak kami kembali berulang kali. Kadang, memang sengaja dia pasang bacaan ayat suci kuat-kuat supaya gemanya sampai ke pintu kamar kami. Belum mampu menggetar tangkai hati kami yang gelap ini.
Ali faham kami tidak makan provokasi azab. Jika diamati ayat Ilahi yang dipasang, dapatlah kami lambaian gemalai supaya kami kembali. Kami dengarkan saja meski ada juga yang melawan dengan lagu-lagu dangdut dari kamar masing-masing.
Mungkin jika Ali berterusan begini, aku juga akan menurutinya bertatih. Mungkin aku juga akan menjadi pelacur yang dimasukkan ke syurga.
Sudah reda tangisnya waktu kami ingin berangkat keluar pergi kerja. Selalunya begitu, baguslah.
Beberapa hari selepas itu, Ali mengetuk perlahan daun pintu kamarku. Dia menjengulkan kepala dan aku menjemputnya masuk.
Hanya selepas jeda yang agak lama baru dia ceritakan hasratnya.
“Aku nak pergi umrah.”
Demi Tuhan, terkejut bukan kepalang aku mendengarnya. Dalam hati, ada gembira memutik dan ada risau berpuput. Bagaimana caranya dia mahu ke Tanah Suci? Telekungkah yang akan dipakai? Atau ihram putih? Bagaimana dengan lekuk-lekuk di badannya itu? Apa pula kata ustaz? Jalan tengah mana yang akan Ali ambil kali ini?
Semuanya bersipongang.