AGENDA

Polis rampas dadah nilai RM3.68 juta, tahan dua ahli sindiket

23 Jan 2025, 8:21 AM
Polis rampas dadah nilai RM3.68 juta, tahan dua ahli sindiket

JOHOR BAHRU, 23 JAN: Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah serta merampas dadah bernilai RM3.68 juta dalam operasi khas di daerah ini minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 13 dan 14 Jan.

Beliau berkata modus operandi sindiket menjadikan kenderaan dan kondominium berpengawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah untuk dipasarkan di daerah ini.

“Dadah yang dirampas membabitkan 21.81 kilogram serbuk ekstasi, 1.4 gram syabu dan 40.28 liter cecair disyaki dadah yang belum dapat dipastikan.

“Sindiket pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif beroperasi sejak Disember dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan dalang dan ahli sindiket lain,” katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu juga didapati terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen dan wang, dengan 13 kad pengenalan dan lesen memandu,18 keping wang, 10 kad bank serta geran kenderaan yang kesemuanya palsu dirampas.

Turut disita peralatan mencetak, wang tunai RM400 dan sejumlah mata wang Kemboja serta seutas jam tangan.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kumar berkata kedua-duanya direman selama 12 hari bermula 14 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619