AGENDA

Pendidikan, AI, tenaga antara sektor bakal raih manfaat hasil WEF 2025

23 Jan 2025, 8:01 AM
Pendidikan, AI, tenaga antara sektor bakal raih manfaat hasil WEF 2025

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sektor pendidikan, pelaburan, perdagangan, kecerdasan buatan (AI), tenaga, digital antara yang bakal meraih sinergi secara langsung dan pulangan lumayan daripada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata WEF 2025 juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama antara Malaysia dan pihak berkaitan.

“WEF ini diadakan untuk mempertemukan pimpinan negara secara formal dan juga santai menerusi mesyuarat dua hala, sela-sela, sidang utama dan lain-lain lagi yang pastinya memberi impak positif dan pengalaman berguna untuk dibawa pulang.

“Saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana Malaysia mendapat layanan dan pengiktirafan di atas kehadiran kali ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata di sebalik semangat mengejar perubahan arus teknologi dunia dan kepesatan ekonomi, faktor keamanan sejagat merentasi benua perlu diambil kira bagi terus mengekalkan kestabilan dunia.

Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah menekankan isu tersebut dalam ucapan pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bertajuk "Even Stronger Together" di WEF 2025.

“Poin kritikal itu perlu diberi perhatian serius mana-mana negara, blok mahu pun kesatuan jika ingin memastikan kehadiran pelabur terus rancak menghangatkan peluang perdagangan yang ada.

“Saya turut memberikan contoh dan pandangan mengenai situasi di Myanmar, di mana lebih banyak libat urus di pelbagai lapisan dan pihak berkaitan, perlu diadakan bagi memastikan kestabilan dan keamanan benua ASEAN terus dipelihara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.

WEF 2025, yang berlangsung bermula 20 Januari lalu diadakan di Davos, Switzerland.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619