AGENDA

JPJ: Kaedah menyamar penumpang bas ekspres berkesan, pemandu lebih beringat

23 Jan 2025, 4:02 AM
JPJ: Kaedah menyamar penumpang bas ekspres berkesan, pemandu lebih beringat

BUKIT MERTAJAM, 23 JAN: Kaedah menyamar sebagai penumpang oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbukti berkesan dalam memastikan pemandu bas ekspres mematuhi undang-undang jalan raya.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata tindakan itu mendorong pemandu untuk lebih berhati-hati dan berhemah kerana menyedari mereka diperhatikan selain tindakan segera boleh diambil, jika melakukan kesalahan.

"Sepanjang operasi penyamaran, JPJ memfokuskan kepada kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

"Kesalahan lain yang turut dipantau termasuk merokok semasa memandu dan memotong di garisan berkembar," katanya pada sidang media Operasi Khas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Juru, di sini semalam.

Zulkifly berkata JPJ turut melakukan pemeriksaan di depoh dan terminal bas termasuk dua terminal utama di negeri ini, Terminal Bas Penang Sentral dan Terminal Bas Sungai Nibong bagi memastikan bas berada dalam keadaan baik serta selamat.

Berhubung operasi khas itu, beliau berkata sebanyak 220 pegawai dan anggota JPJ diatur gerak sepanjang pelaksanaannya sehingga 9 Feb ini, dengan tumpuan diberikan terhadap lokasi hotspot atau kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan.

Zulkifly turut memaklumkan bahawa sebanyak 214 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain lima kenderaan termasuk dua kontena dan sebuah lori tangki disita dalam operasi malam tadi.

"Sitaan tiga kenderaan berat itu dibuat untuk pemeriksaan lanjut kerana dipercayai telah dilakukan pengubahsuaian sehingga boleh menjejaskan keselamatan manakala dua lagi kereta disita kerana dipandu oleh warga asing," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619