AGENDA

Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat kebakaran hotel di Turkiye

22 Jan 2025, 6:53 AM
Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia terlibat kebakaran hotel di Turkiye

PUTRAJAYA, 22 JAN: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam kebakaran dahsyat di Hotel Grand Kartal, Pusat Peranginan Ski di Kartalkaya di Wilayah Bolu, Turkiye yang meragut 76 nyawa dan 51 cedera.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian tragik itu melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul.

“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Republik Turkiye serta keluarga dan mangsa terlibat. Malaysia bersama bersolidariti dan mendoakan agar diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi waktu sukar ini,” menurut Wisma Putra.

Rakyat Malaysia di Turkiye yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara pada waktu pejabat di talian +(90) 312 446 35 47/48 atau selepas waktu pejabat di +(90) 507 812 8406. Mereka juga boleh mendapatkan bantuan melalui e-mel di mwankara@kln.gov.my.

Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul di talian +(90) 212 989 10 01/09 pada waktu pejabat atau +(90) 531 716 0551 selepas waktu pejabat. Bantuan juga boleh didapati melalui e-mel di mwistanbul@kln.gov.my.

Menurut laporan antarabangsa, 52 daripada mangsa yang maut dikenal pasti, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya malam tadi.

Kebakaran di hotel berkenaan di Wilayah Bolu mengejutkan 238 tetamu yang menginap pada malam sebelumnya.

Ketika ini, Turkiye dalam cuti sekolah, dengan pusat peranginan ski popular Kartalkaya menarik ramai pengunjung untuk percutian musim sejuk.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619