AGENDA

Tiga individu mengaku tidak salah culik kanak-kanak perempuan

21 Jan 2025, 2:37 PM
Tiga individu mengaku tidak salah culik kanak-kanak perempuan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Tiga individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan dua tahun, awal bulan ini.

Pekerja kilang D R. Thevagaran dan dua pengganggur M. Haris dan V. Durga Nanthini yang kesemuanya berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama menculik kanak-kanak berkenaan daripada penjaganya yang sah di tepi Jalan Pandan Indah 1/1, Taman Maju Jaya, di bawah jejambat E9, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada 6.30 petang, 4 Jan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala peguam Lingswaran Singh mewakili Thevagaran dan Haris. Durga Nanthini pula diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ernie Ahmad.

Terdahulu Nadiah tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin, namun Lingswaran dan Ernie memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Normaizan Rahim menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619