AGENDA

Kes pukul OKU: JKM kesal kejadian tidak berperikemanusiaan, polis tahan seorang lagi suspek

21 Jan 2025, 9:12 AM
Kes pukul OKU: JKM kesal kejadian tidak berperikemanusiaan, polis tahan seorang lagi suspek

CHUKAI, 21 JAN: Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat memukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini, menjadikan jumlah mereka yang ditahan setakat ini kepada enam orang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Ja'afar berkata lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan pada 1.50 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

"Polis juga telah memperoleh perintah reman terhadap suspek sehingga Khamis ini (23 Jan)," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dengan semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Sementara itu, di Putrajaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi kenyataan mengesahkan mangsa yang dipukul merupakan pemegang kad OKU kategori mental sejak 19 Mac 2023.

JKM juga memaklumkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (KSP) kepada keluarga mangsa bagi membantu menstabilkan emosi mereka susulan kejadian itu.

"JKM kesal dengan kejadian itu yang sangat tidak berperikemanusiaan dan di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini," menurut kenyataan itu.

Pada 17 Jan lepas, rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di pasar tani itu tular di media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal, terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan untuk jualan terjatuh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619