AGENDA

Bayaran STR Fasa 1 disalur berperingkat mulai esok

21 Jan 2025, 3:37 AM
Bayaran STR Fasa 1 disalur berperingkat mulai esok

PUTRAJAYA, 21 JAN: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan mulai esok melibatkan peruntukan RM2.3 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun lepas.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran akan dibuat melalui pengkreditan ke akaun bank penerima berdaftar atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

“Secara keseluruhan program STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 akan memanfaatkan hampir sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa.

“Bagi STR dan SARA 2025, kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kadar minimum untuk golongan bujang juga naik kepada RM600 daripada RM500 tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang sama berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat negara ini bertambah baik walaupun berlaku peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Permohonan baharu dan kemas kini bagi STR akan dibuka sepanjang tahun dan sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

MOF menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619